i-Nilam


KERTAS MAKLUMAN
DARIPADA
SEKTOR PENGURUSAN SUMBER PENDIDIKAN
PENGURUSAN PROGRAM NILAM SECARA ATAS TALIAN (I-NILAM)

1. TUJUAN

Kertas ini bertujuan memaklumkan Y. Bhg. Pengarah BTP berkaitan Sistem Automasi Pengurusan Program NILAM secara atas talian (i-NILAM).

2. LATAR BELAKANG

2.1 Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

2.2 Program NILAM merupakan satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid dengan hasrat mewujudkan budaya membaca dan budaya ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia.

2.3 Pekeliling lkhtisas Bil. 13/1998 bertarikh 22 Mei 1998 telah menyatakan bahawa Program NILAM wajib dijalankan di semua sekolah seluruh negara. Selain itu, usaha ke arah galakan membaca wajar digerakkan untuk menyokong gesaan Kementerian Pelajaran dalam menarik minat murid untuk lebih banyak membaca.

2.4 Sekolah perlu mengadakan aktiviti-aktiviti galakan membaca secara berperingkat dan berterusan meliputi aktiviti asas, aktiviti pemupukan dan aktiviti pengayaan. Justeru, satu strategi yang berkesan perlu dilaksanakan untuk memperhebatkan lagi pencapaian Program NILAM ke tahap yang lebih baik dan menyeluruh.

2.5 Kecekapan pengurusan program ini terutama dari sudut perancangan, pemantauan dan kutipan data perlu diperkasakan bagi memastikan kejayaan program ini di peringkat Bahagian Teknologi Pendidikan dan rangkaiannya iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) selaku urus setia program ini di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

2.6 Kejayaan program ini turut menyokong hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan modal insan dan memperkasakan sekolah kebangsaan yang menjadi Teras Kedua dan Ketiga Pelan Pembangunan Induk Pendidikan (2006-2010) dan selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

3. PERKARA YANG HENDAK DIMAKLUMKAN

3.1 Pendekatan yang digunakan dalam pelaksanaan Program NILAM perlu menunjukkan kematangan dan kecekapan pengurusan terutamanya dari segi perancangan dan pemantauan memandangkan program ini telah menjangkau 10 tahun.

3.2 Kutipan data bacaan murid yang masih dilaksanakan secara manual atau separa automasi di peringkat sekolah, PKG, BTPN dan BTP perlu dinaiktaraf agar data dan maklumat dalam bentuk analisis semasa, historikal, trend dan gap dapat digunakan bagi mewujudkan perancangan strategik yang komprehensif dan menepati sasaran dan matlamat program ini.

3.3 Satu mekanisme pemantauan dan penilaian yang sistematik dan terkini perlu diwujudkan bagi tujuan mengenal pasti status kejayaan program ini di semua peringkat. Fokus utama ialah memastikan keberkesanan dan keberhasilan pelaksanaan program dan aktiviti gerakan tabiat membaca dalam kalangan murid samada di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman dan bukan hanya untuk mengenalpasti Tokoh NILAM peringkat sekolah, daerah dan negeri untuk dicalonkan ke peringkat kebangsaan.

3.4 Dengan wujudnya perubahan dan kepesatan teknologi ICT dalam pendidikan, proses pengumpulan data NILAM boleh dilaksanakan secara atas talian (online), berpusat dan kendiri agar analisis NILAM secara komprehensif dan spesifik dapat dibuat di peringkat BTP, BTPN, PKG dan sekolah. Anjakan pradigma dan transformasi pengurusan maklumat secara bersepadu adalah penting supaya infomasi dapat dikongsi bersama dan menepati objektif dan matlamat program ini.

3.5 STRATEGI PELAKSANAAN

3.5.1 Konsep i-NILAM
i-Nilam terdiri daripada komponen berikut.
• Indeks kualiti
• Insan
• Intelek
• Informasi
• Integrasi

3.5.2 i-NILAM merupakan kerangka kerja untuk mengukur Indeks kualiti pencapaian NILAM bagi melahirkan Insan Intelek melalui perkongsian Informasi menggunakan Integrasi sistem secara atas talian (online) dan bersepadu.

3.5.3 Sistem i-NILAM bertujuan melancar dan mempermudahkan aliran kerja dan proses penilaian dan pemantauan Program NILAM yang dilaksanakan di peringkat sekolah seluruh negara oleh PKG, BTPN dan BTP.

3.5.4 Hasrat memperkasakan pemantauan Program NILAM ini secara atas talian (online) merupakan satu wadah transformasi Pusat Sumber Sekolah ke arah amalan pengurusan berbentuk digital, sesuai dengan kepesatan ICT masa kini.

3.5.5 Sistem Automasi NILAM (i-NILAM) adalah sistem sumber terbuka berasaskan web yang dibangunkan mengguna piawaian berasaskan web terkini. Aplikasi dan browser boleh beroperasi menggunakan sebarang platform. Ini jelas menunjukkan pemilihan platform sumber terbuka dapat menjimatkan kos pembangunan dan pelaksanaan sistem pada tahap yang paling optimum. Kini platform sumber terbuka telah memasuki peringkat matang di mana kebanyakan organisasi swasta dan kerajaan akan mempertimbangkannya sebagai alternatif kepada platform lain yang mungkin lebih mahal disebabkan oleh keperluan perlesenan sistem.

3.5.6 Panduan pengguna turut disediakan secara atas talian bagi memudahkan pihak guru melaksanakan program ini.


Disediakan oleh:
Unit Pengurusan Pusat Sumber
Sektor Pengurusan Sumber Pendidikan
Bahagian Teknologi Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Februari 2010

Portal i-Nilam BTP